Isnin, 19 Oktober 2009

MODEL PEMPROSESAN MAKLUMAT

1. Teori Pemprosesan Maklumat R. M. Gagne
Robert M. Gagne dalam bukunya Essentials of Learning for Instuction ( 1975 ) mengemukakan satu teori mengenai bagaimana manusia memperoleh maklumat dalam sesuatu proses pembelajaran. Mengikut teorinya, ransangan-ransangan dari persekitaran luar akan diterima dalam sistem saraf melalui deria-deria manusia. Maklumat ini akan ditafsir dalam stor ingatan, kemudian dihantar kepada stor ingatan jangka panjang dan akhirnya kepada penggerak tindak balas melalui sistem saraf.
Mengikut Gagne, pengalaman-pengalaman yang disimpan dalam stor ingatan jangka panjang adalah penting bagi manusia untuk mengaitkannya dengan pengalaman-pengalaman baru demi memudahkan proses pembelajaran berlaku. Gagne mengenal pasti dan menyarankan lapan fasa yang biasa dialami oleh manusia dalam sesuatu pembelajaran, iaitu fasa motivasi, fasa kefahaman, fasa penyimpanan, fasa penahanan, fasa ingatan kembali, fasa generalisasi, fasa prestasi dan fasa maklum balas.

a) Fasa Motivasi- Jangkaan
Fasa motivasi ialah fasa pertama yang berlaku dalam sesuatu proses pembelajaran. Lazimnya, manusia belajar kerana didorong oleh motivasi tertentu. Tanpa motivasi, proses pembelajaran tidak akan bermakna dan berkesan. Oleh itu, motivasi memainkan peranan yang penting dalam mana-mana proses pembelajaran.
Manusia berusaha belajar kerana mempunyai motif tertentu. Motivasi merupakan tindakan yang menimbulkan motifnya supaya belajar. Jadi motivasi digunakan untuk menggalakkan murid-murid supaya berusaha belajar.

b) Fasa Tanggapan – Perhatian
Fasa ini melibatkan aktiviti pemerhatian dan pemilihan rangsangan yang tepat dan relevan. Di dalam fasa ini, seseorang akan menumpukan perhatian terhadap sesuatu rangsangan yang dimotivasikan dan memilih serta membezakan rangsangan-rangsangan melalui organ derianya.
Contohnya, semasa belajar di bilik darjah, seorang murid menumpukan perhatian terhadap aktiviti pengajaran guru dan menolak gangguan yang lain seperti bunyi perbualan daripada rakan sekelas yang lain.

c) Fasa Penyimpanan- Kod
Apabila seseorang telah berjaya memilih rangsangan yang relevan dan mempersepsikannya denga tepat, maka rangsangan itu akan dibawa oleh sistem saraf ke dalam stor ingatan jangka pendek. Di situ, rangsangan tersebut akan dikodkan dengan suatu cara yang ringkas dan tersendiri seperti merekodkan isi-isi penting dalam bentuk yang mudah disimpan.

d) Fasa Penahanan- Stor Ingatan
Selepas rangsangan yang dipilih dan dikodkan dalam stor ingatan jangka pendek, sebahagian atau keseluruhanya akan disalurkan dan disimpan dalam stor ingatan jangka panjang. Kod-kod yang disimpan dalam stor jangka panjang akan ditransformasikan dan disusun semula dengan satu sistem yang lebih kekal dalam ingatan dan lebih mudah dikeluarkan. Fasa ini dinamakan fasa penahanan, iaitu menyimpan maklumat, peristiwa atau pengalaman yang diperoleh dengan cara yang sistematik.

e) Fasa Mengingat Kembali- Mencari
Fasa mengingat kembali merupakan tindakan mencari maklumat atau pengalaman yang telah disimpan dalam stor ingatan jangka panjang. Tindakan ini biasanya digerakkan oleh rangsangan luaran atau motif dalaman. Misalnya seorang murid berusaha mengingat kembali apa yang telah dipelajarinya untuk menjawab soalan guru.

f) Fasa Generalisasi- Pindaan
Fasa generalisasi ini merujuk kepada fasa pemindahan pembelajaran atau fasa aplikasi di mana seseorang individu boleh mengingat kembali maklumat dalam stor ingatan jangka panjang dan menggunakannya untuk situasi yang sama atau serupa.
Misalnya, seorang murid telah mengetahui bentuk segiempat tepat, segiempat sama sisi, rombus yang masing-masing mempunyai empat sisi, maka murid itu akan membuat generalisasi bahawa bentuk-bentuk tersebut boleh diklasifikasikan dalam kategori sisiempat.

g) Fasa Prestasi- Gerak Balas
Fasa prestasi juga dikenali sebagai fasa perlakuan. Mengikut Gagne, fasa ini boleh diperlihatkan dan diukur daripada perubahan tingkah laku seseorang dalam proses pembelajaran. Fasa prestasi berlaku apabila seseorang bertindak balas dengan perubahan tingkah lakunya sebaik sahaja isyarat ransangan diberikan. Misalnya, murid bertindak balas dengan menjawab soalan guru secara lisan.

h) Fasa Maklum Balas-Peneguhan
Fasa ini merupakan fasa terakhir dalam sesuatu proses pembelajaran. Fasa maklum balas ini berlaku selepas seseorang individu telah bertindak balas dengan prestasi atau perubahan tingkah laku yang tepat.
Tindakan maklum balas mempunyai fungsi peneguhan seperti memberi galakan kepada orang yang telah menunjukkan prestasi yang tepat. Contohnya, seseorang murid yang dapat memberi jawapan yang harus diberikan pujian oleh guru.

Berdasarkan Model Pemprosesan Maklumat yang dikemukakan Gagne, beberapa aspek utama dapat dikenal pasti dalam fasa proses pembelajaran. Di antaranya ialah kesediaan, motivasi, pengamatan, ingatan dan lupaan serta pemindahan.

2. Teori Pengajaran Burner

Bruner ( 1973 ), mengemukakan Teori Pembentukan Konsep melalui proses pengkategorisasi iaitu proses pengamatan. Mengikut beliau, dengan mengkategorikan perkara-perkara dan benda yang mempunyai ciri yang sama dalam beberapa kelompok, maka kita akan dapat menjadikan pelajaran dengan lebih sistematik, teratur dan mudah.
Selain itu, dalam mengelaskan haiwan-haiwan yang pelbagai jenis kepada kelompok-kelompok mengikut habitat mereka akan memudahkan murid-murid mengamati ciri-ciri haiwan dalam pelajaran di sekolah. Sehubungan dengan itu, di dalam teori pengajarannya, Bruner menyarankan bahawa :
a) Teori Pengajaran harus menetukan butir-butir pengetahuan sedia ada yang digunakan sebagai motivasi pelajar.
b) Bahan-bahan pembelajaran harus distukturkan secara sistematik supaya mudah dipelajari.
c) Teori Pengajaran harus menentukan cara yang palin berkesan untuk mengorganisasikan bahan-bahan pengajaran supaya mudah dipersembahkan dan mudah dipelajari.
d) Teori Pengajaran harus menentukan ganjaran dan denda selepas penilaian akiviti pembelajaran supaya pelajar mendapat kepuasan dalam pelajaranya.


3. Model Taba : Pembentukan Konsep

Mengikut Taba, konsep boleh dibentuk dengan tepat melalui penyusunan banan-bahan pengajaran dalam suatu sistem yang sesuai. Dalam hal ini, Taba mencadangkan satu model yang mengaitkan pembentukan konsep dengan pemilihan dan memeringkatkan isi pelajaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Mengikut Taba, pembentukan sesuatu konsep haruslah dilakukan melalui empat peringkat utama iaitu :

a) Peringkat Penyusunan Data
Menyusun fakta-fakta dengan memerhatikan ciri-ciri persamaan dan perbezaanya.
b) Peringkat Pembentukan Konsep
Menggolongkan dan mengelaskan fakta-fakta berdasarkan ciri-ciri persamaan supaya menjadi kategori tertentu.
c) Peringkat Membentuk Hukum
Membuat kesimpulan atau generalisasi berdasarkan hubungan-hubungan di antara kategori-kategori yang dibuat dalam peringkat sebelumnya.
d) Peringkat Aplikasi
Penggunaan generalisasi atau kesimpulan baru
Model Pengajaran Taba mengaitkan stuktur pengetahuan dengan proses perancangan dan pembelajaran. Semasa proses perancangan pelajaran, perkara-perkara yang hendak dipertimbangkan ialah penyusunan data, pembentukan konsep dan membuat generalisasi atau prinsip dari konkrit kepada abstrak. Di dalam proses pembelajaran, teknik meningkatkan daya pemikiran pelajar adalah penting untuk memperoleh dan menguasai generalisasi atau prinsip yang abstrak.

4. Model Inkuiri
Kaedah inkuiri merangkumi segala proses soal selidik untuk mendapatkan jawapan atau daripada masalah yang dikemukakan. Aktiviti soal selidik ini memerlukan murid mengenal pasti soalan bermasalah, membentuk hipotesis, merancang aktiviti kajian, menjalankan siasat dan membuat rumusan atau mendapatkan jawapan. Kaedah inkuiri boleh dikendalikan berdasarkan salah satu daripada tiga model berikut :
a) Model Inkuiri Sains
Digunakan untuk mengkaji prinsip, fenomena dan ciri-ciri unsur sains. Prinsip kajian adalah berlandaskan kepada lima langkah aktiviti soal selidik yang dihuraikan dalam Model Dewey ; mengenal pasti masalah, mencari maklumat rumusan, membentuk hipotesis, menguji hipotesis dan menilai serta membuat rumusan.
Proses mengenal pasti masalah melibatkan aktiviti memahami dan mengenal pasti aspek-aspek penting yang terkandung dalam masalah. Peringkat mencari maklumat melibatkan aktiviti mengumpul bahan-bahan atau fakta-fakta yang berkaitan dengan penyelesaian masalah. Peringkat membuat hipotesis merujuk kepada cadangan strategi dan cara menyelesaikan masalah. Peringkat menguji hipotesis merupakan proses perlaksanaan strategi dan aktiviti penyelesaian, manakala peringkat menilai dan membuat rumusan merujuk kepada aktiviti penilaian dan membuat rumusan terhadap teknik penyelesaian yang telah digunakan dalam proses penyelesaian masalah.

b) Model Inkuiri Sosial
Digunakan untuk mengkaji topik-topik yang berkaitan dengan bidang kemanusiaan dan kemasyarakatan. Proses kajian adalah berlandaskan kepada aktiviti pemerhatian , temubual atau soal selidik. Model inkuiri sosial menegaskan proses interaksi sosial. Model ini merangkumi enam langkah iaitu ; pembentukan masalah oleh pengajar, pembentukan hipotesis oleh pelajar, menemtukan definisi untuk hipotesis, perbincangan kesahan hipotesis, mencari sokongan untuk hipotesis dan membuat rumusan atau kesimpulan.

c) Model Inkuiri Juris Prudential
Digunakan untuk mencari kebenaran dan ketepatan isu-isu seperti belajar Sains lebih berguna daripada belajar Sastera. Proses inkuiri ini adalah berlandaskan kepada aktiviti perdebatan.
Di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, terdapat dua jenis teknik inkuiri iaitu inkuiri terbimbing dan inkuiri terbuka. Inkuiri terbimbing memerlukan guru membimbing murid-murid menjalankan segala proses kajian. Inkuiri jenis ini sesuai digunakan pada peringkat sekolah rendah dan juga sekolah menengah. Dalam inkuiri terbuka, murid-murid tidak diberi sebarang bimbingan. Segala proses kajian dijalankan oleh murid sendiri. Inkuiri jenis ini sesuai digunakan pada peringkat sekolah menengah atasa dan peringkat lebih tinggi.

d) Model Inkuiri Suchman
Model ini diperkenalkan oleh Richard Suchman berlandaskam andaian bahawa strategi-strategi yang digunakan oleh ahli sains untuk menjalankan kaji selidik boleh juga digunakan sebagai model pengajaran dalam matapelajaran khususnya sains.

4 ulasan:

  1. perkongsian maklumat yang berguna...terima kasih :)

    BalasPadam
  2. your article not user friendly

    BalasPadam
  3. pemilihan warna yang tidak sesuai... sukar untuk dibaca!

    BalasPadam